KUCHING, 6 Jun: Seorang jurujual alat telekomunikasi di Padawan kerugian sebanyak RM524,800 selepas diumpan skim pelaburan palsu dalam Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia 33 tahun itu pada mulanya tertarik dengan skim pelaburan ‘BB Trade VIP’ yang ditawarkan melalui Facebook pada 28 April lalu.
“Mangsa kemudiannya menekan pautan ‘learn more’ sebelum disambungkan kepada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Justin Kang di talian 01-40086359 dan 011-56376504.
“Suspek menerangkan kepada mangsa bahawa keuntungan sebanyak 20 peratus akan diperoleh daripada nilai pelaburan yang dibuat,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Mohd Azman berkata, suspek kemudian menyuruh mangsa untuk memasukkan wang ke beberapa akaun sebagai caj perkhidmatan skim pelaburan berkenaan.
“Mangsa tanpa ragu-ragu telah melakukan sebanyak 19 transaksi pemindahan keseluruhan wang miliknya ke tujuh akaun bank berlainan di antara 28 April sehingga semalam,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi lagi melalui nombor-nombor telefon tersebut dan tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis.
Dalam pada itu, Mohd Azman menasihatkan masyarakat supaya jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun Android Package Kit (APK) yang tidak diketahui kesahihannya.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.
Sehubungan itu, masyarakat juga boleh menghubungi Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-2111222 berkaitan kes-kes jenayah dalam talian selain membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi Check Scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan. – TVS



