MIRI, 6 Jun: Kerajaan Sarawak mengkategorikan isu dadah sebagai satu isu keselamatan negeri kerana menjejaskan kesejahteraan komuniti seperti keganasan rumah tangga, masalah keluarga, jenayah harta benda dan kesihatan mental.
Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Pelan Tindakan One Stop Committee (OSC) ditubuhkan bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS).
“Dadah menjadi punca utama kepada isu sosial seperti keganasan rumah tangga sebanyak 83 peratus, masalah keluarga 70 peratus, jenayah harta benda 68 peratus dan kesan kepada kesihatan mental 52 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Simbolik Penyerahan Anjing Pengesan Dadah (APD), Kenderaan APD dan Mesin Dual-energy Kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak di sini, semalam.
OSC MIDS ditubuhkan pada 2018 untuk menyokong usaha-usaha rakan-rakan strategik bagi melaksanakan program dan aktiviti.
Program berkenaan seperti operasi penguatkuasaan bersepadu bagi mengurangkan penawaran dadah dan substans, pengesanan dan pencegahan penyalahgunaan dadah serta rawatan dan pemulihan penyalahgunaan substans secara berterusan.
Ia turut merangkumi pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah dan mengukuhkan tadbir urus dan fungsi OSC MIDS Peringkat Daerah dan Biro MIDS Kawasan Penghulu di Sarawak.
Fatimah juga menggalakkan mana-mana penagih dadah untuk mendapatkan rawatan secara sukarela di Pusat Pemulihan One Stop Centre for Addiction (OSCA) di klinik berdekatan.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam menubuhkan OSCA. Bilangan OSCA di klinik kesihatan yang ditubuhkan di Malaysia paling tinggi bilangannya di Sarawak,” katanya.
Sebanyak empat mesin mengimbas berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan bahan-bahan narkotik, tiga ekor anjing pengesan dadah (APD), dua kereta APD dan pembinaan rumah APD diserahkan kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Sarawak.
Ia menggunakan geran khas kerajaan Sarawak berjumlah RM3,012,000 menerusi Pelan Tindakan Bersepadu MIDS Sarawak. – TVS



