KUCHING, 6 Mei: Seramai 18 orang sukarelawan telah menyertai Majlis Perbarisan Pembukaan Kursus Asas Prajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2023 yang berlangsung di Padang Kawad Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) hari ini.
Kursus yang berlangsung pada 2 Mei itu telah disempurnakan oleh Komander Rejimen 511 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki dan akan berakhir pada 30 Mei nanti.
Menurut beliau, kursus berkenaan bertujuan untuk memberi latihan asas ketenteraan kepada anggota sukarela yang baharu selain menggalakkan mereka menceburkan diri dalam bidang kententeraan.
“Dalam masa sama kursus ini juga membentuk semangat kewarganegaraan serta cintakan tanah air,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau berharap agar semua anggota sukarela dapat mengaplikasikan kursus tersebut ke dalam kehidupan seharian mereka di samping membentuk jati diri yang berdisiplin.