KUCHING, 4 Mei: Sambutan Hari Wesak tahun ini melambangkan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum serta agama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis semangat yang ada pada rakyat Sarawak akan merancakkan pembangunan negara ini.
âMenjadi kuat dan berdaya tahan bukan sahaja merujuk kepada kesihatan fizikal rakyat tetapi yang lebih penting, ikatan yang kuat, sokongan dan patriotisme yang hebat di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
âMencintai negara adalah menyayangi rakyatnya dan menyayangi rakyatnya adalah menghormati antara satu sama lain walaupun bangsa dan agama mereka berlainan,â katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sambutan Hari Wesak 2023 telah diadakan di Persatuan Buddha Sarawak, di sini hari ini.
Bersempena sambutan kali ini, beliau juga menyeru pertubuhan-pertubuhan Buddha untuk sentiasa menyampaikan motivasi positif ke dalam jiwa penganutnya serta masyarakat lain agar perpaduan sedia ada semakin mekar di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat negeri ini untuk menghayati pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu yang telah berkorban membolehkan generasi kini menikmati keamanan hingga hari ini.
Menurutnya tahun ini merupakan tahun yang penting bagi Sarawak kerana ia merupakan ulang tahun kemerdekaan Sarawak yang ke-60 iaitu pada 22 Julai kelak.
âUlang tahun ini bertujuan untuk memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan sebagai rakyat Sarawak, mengukuhkan hubungan perpaduan dalam kalangan rakyatnya dengan hidup harmoni dengan saling menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya,â ujarnya.
Terdahulu, seramai 600 penganut Buddha memeriahkan sambutan Hari Wesak 2023 yang bertemakan ‘Kemajuan Bersatu ke Arah Kemakmuran Negara dan Warga Berdaya Tahanâ di sini, hari ini.
Difahamkan tema tersebut juga diamalkan Kerajaan Sarawak bagi penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak, untuk menguruskan keperluan dan kebajikan agama-agama lain di negeri ini.
Inisiatif ini telah membuktikan dasar inklusif kerajaan negeri yang menekankan keperluan untuk memupuk dan menggalakkan keamanan dan keharmonian di kalangan rakyatnya.
Untuk rekod, UNIFOR ditubuhkan pada 2017 untuk menguruskan perihal kebajikan agama-agama lain di Sarawak, selain turut menyalurkan bantuan kewangan untuk pembangunan serta penaiktarafan rumah ibadat mereka. -TVS