Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto Bernama.

Aidilfitri 2023 meriah, kali pertama dalam tiga tahun tidak ditetap SOP khas

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 April: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara hari ini meriah dengan masjid dan surau dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan perayaan kali ini dalam tempoh tiga tahun tidak ditetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun lepas, hari raya disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang menyaksikan SOP dilonggarkan.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 8.13 pagi di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Tinjauan mendapati kebanyakan jemaah yang hadir memakai pelitup muka seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan serta turut membawa sejadah sendiri.

Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang diiringi Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 9.10 pagi di Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat.

Turut menyertai solat berkenaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Di PERLIS, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Dataran Istiadat Istana Arau diiringi Menteri Besar Mohd Shukri Ramli untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Perlis Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang, Kuala Terengganu diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Solat sunat yang diimamkan Mufti Terengganu Dr Mohamad Sabri Haron itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pemimpin negeri dan lebih 3,000 rakyat jelata.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke Masjid Zahir, Alor Setar diiringi Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Lebih 2,000 jemaah menunaikan solat sunat itu yang bermula pada pukul 9 pagi dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir Sheikh Mohd Naim Ahmad.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 500 jemaah di Masjid Hajiji Noor, Serusup Tuaran pada 7.15 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat berkenaan, Hajiji meminta seluruh umat Islam di Sabah mengadakan sambutan hari raya secara sederhana.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dijadual mengadakan majlis Rumah Terbuka di Istana Sri Kinabalu esok, manakala Kerajaan Negeri Sabah pula akan mengadakan majlis Rumah Terbuka pada 30 April ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya.

Pada hari ini juga, Tun Abdul Taib dijadual mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Astana Negeri Sarawak bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Abang Johari pula akan menganjurkan majlis sama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 10.30 pagi hingga 4 petang ini.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan