KUCHING, 5 Mei: Perayaan Pesta Kaamatan anjuran Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Sarawak 2025 disambut meriah di Kuching, sekali gus menjadi simbol keutuhan perpaduan antara rakyat Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, berkata kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini terus menyerlah melalui sambutan Pesta Kaamatan di Bumi Kenyalang.
“Pesta Kaamatan yang diraikan menjadi bukti nyata bagaimana nilai toleransi, hormat-menghormati dan saling memahami terus subur dalam masyarakat kita.
“Inilah wajah sebenar Malaysia. Bersatu dalam kepelbagaian. Sabah dan Sarawak ‘truly’ Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan KDCA Sarawak 2025 di sini, malam tadi.
Sambutan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan KDCA Sarawak itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep serta Pengerusi KDCA Sabah, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.
Turut memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, ADUN Serembu, Miro Simuh dan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Sementara itu, Sikie turut menzahirkan rasa bangga atas sambutan luar biasa masyarakat Sarawak terhadap Pesta Kaamatan, yang merupakan pesta menuai tradisional masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.
Katanya, perayaan itu bukan sahaja melambangkan rasa syukur atas hasil tuaian, malah turut mengangkat nilai budaya, semangat muafakat dan kekuatan komuniti.
“Sama seperti Hari Gawai di Sarawak, kedua-dua pesta ini merupakan simbol penghargaan terhadap hasil bumi dan anugerah alam semula jadi.
“Ia juga mencerminkan bagaimana rakyat Malaysia menghargai dan melestarikan warisan budaya mereka,” tambah beliau.
Beliau turut memuji penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti Sabah dan penduduk tempatan Sarawak, yang bersama-sama menyemarakkan sambutan ini sebagai simbol kesatuan dan semangat kekitaan.
“Saya menyeru kepada semua masyarakat, khususnya generasi muda, agar menjadikan warisan ini sebagai sumber inspirasi untuk memperkukuh jati diri dan membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya. – TVS



