Petikan sape’ dari jari Saufi Aiman Yahya anak kelahiran Sarawak yang berasal dari Kuching ini telah menawan banyak hati pendengar.
Bahkan gayanya bermain sape’ juga turut menarik perhatian.
Saufi Aiman Yahya merupakan seorang pemain alat muzik sape’ kontemporari professional selama 10 tahun dan juga seorang penulis buku rujukan sape’ yang berpengalaman.
Saufi, 30, aktif dalam membuat persembahan serta mengadakan kursus pembelajaran bermain sape’ di sekitar Sarawak & Kuala Lumpur.
Beliau merupakan Juara Dunia instrumentalis untuk kategori klasik, kontemporari dan terbuka dan telah merangkul empat pingat emas dan satu pingat perak semasa Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-21 pada tahun 2017.
WCOPA ialah pertandingan antarabangsa untuk mengetengahkan bakat-bakat besar yang diadakan setiap tahun di Long Beach, California (Amerika Syarikat).
Satu ketika dahulu, alat muzik sape’ hanya dimainkan di kampung sahaja.
“Saya berfikir amat sayang sekali, generasi muda zaman ini kurang berminat dengan muzik tradisi,” kata Saufi ketika ditemu bual oleh TVS melalui WhatsApp.
Beliau mengambil inisiatif untuk mengkaji muzik dan budaya sape’, atas nilai rasa tanggungjawab.
“Saya sebagai mahasiswa jurusan muzik. Sape’ pula dipilih kerana alat muzik utama saya ialah gitar klasikal, di mana terdapat sedikit persamaan dari segi kaedah permainan,” ujar beliau apabila ditanya mengenai permulaan minatnya pada sape’.
Memandangkan di musim Covid-19 ini sudah pasti akan ada cabaran yang dihadapi sebagai seorang penghibur.
Saufi berkata banyak acara persembahan dan program pengajaran di sekolah terpaksa ditunda atau dibatalkan.
“Namun begitu, masih ada peluang untuk membuat rakaman muzik di studio untuk projek album penyanyi dan iklan,” kata beliau.
Cabaran lain katanya ialah kesukaran untuk berjumpa dan berinteraksi dengan orang ramai.
Selain itu, Saufi berkata peluang untuk kerjasama dengan agensi atau syarikat berkurangan kerana mereka lebih fokus untuk melabur ke urusan yang lebih penting.
Norma baharu telah membuka peluang kepada Saufi untuk meneroka kaedah baru untuk melaksanakan tugasan asal.
“Contohnya, kelas sape’ telah mula dijalankan secara atas talian sahaja,” katanya.
Namun begitu, Saufi berkata persediaan dan perancangan pembelajaran dan aktiviti harus ada sekiranya keadaan sudah beransur pulih.
Beliau berharap semua orang mampu menghadapi waktu sukar ini, dan terus bersemangat dalam melakukan pekerjaan dan mengharungi kehidupan dalam normalisasi baharu.
Ikuti perkembangan Saufi Aiman Yahya di Facebook Sape’star dan juga channel Youtube beliau Sape’star Official.
Tontoni temu bual Saufi di TVS di rancangan Borak Teh C Peng dan Asia Sejahtera di video bawah :