KUCHING, 20 Dis: Menjelang perayaan hari Krismas yang bakal tiba beberapa hari saja lagi, kini banyak kedai roti dan pastri di sekitar Kuching mengadakan jualan sempena menyambut hari Krismas.
Tinjauan di salah sebuah premis roti dan pastri di kawasan Kuching mendapati orang ramai telah mula membuat tempahan awal kek dan roti bagi sambutan hari Natal yang akan tiba ini.
Pengurus kedai roti dan pastri yang ditemui, Jia Hui berkata, pada tahun ini mereka menggunakan bahan yang lebih berkualiti dalam produk makanan mereka, di samping memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan dalam mendekorasikan tema kek Krismas mereka.
“Kami menambaik baik dekorasi agar kek dan pastri yang kami hasilkan kelihatan cantik. Kami juga menggunakan bahan yang lebih berkualiti seperti coklat, strawberi dan biskut. Kek dan pastri kami hasilkan mempunyai banyak pilihan dan dekorasi yang pelbagai pada tahun ini berbanding tahun yang dahulu,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Biskut-biskut juga laris dengan pelbagai hiasan yang boleh digubah dijadikan sebagai buah tangan kepada kawan dan saudara-mara.
“Biskut yang kami hasilkan mempunyai lukisan cantik. Biskut yang digubah berbentuk set ‘tower’ yang digelar ‘Premium Party Gift Tower’ mempunyai promosi dan ramai orang membuat tempahan. Ia kelihatan cantik dan senang untuk dihantar sebagai hadiah kepada ahli keluarga dan kawan-kawan. Dalam beberapa minggu ini kami menghasilkan banyak biskut bagi menghasilkan gubahan set ‘tower’ kerana perayaan Krismas sudah dekat,” katanya lagi.
Tambahannya, persediaan untuk tema bagi biskut gingerbread sempena Krismas telah dibuat satu bulan awal oleh pelanggan mereka selain menjadikan biskut itu tema yang popular dalam produk mereka.
“Biskut gingerbread sudah kami hasilkan dalam masa lebih sebulan yang lalu. Dekorasinya adalah bertemakan Krismas, Santa Claus dan pokok Krismas. Biskut gingerbread mempunyai rasa halia dan ramai orang menyukainya.-TVS