KUCHING, 15 Dis: Shell Malaysia melantik Siti Hurrairah Sulaiman sebagai Pengerusi Negaranya yang baharu berkuat kuasa 1 Jan, 2023.
Anak kelahiran Kuching itu merupakan wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan di Malaysia.
Siti Hurrairah akan menggantikan Datuk Ivan Tan, yang akan memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif, Telaga, bagi Shell Group.
Shell Malaysia dalam satu kenyataan berkata Siti Hurrairah juga akan berperanan menyelia semua perniagaan Shell Malaysia di samping menggalas tugasnya sebagai Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan di Malaysia.Â
Siti Hurrairah bermula di Shell sebagai pemegang biasiswa syarikat itu dan menamatkan pengajian daripada Imperial College di London dengan ijazah kelas pertama dalam kejuruteraan mekanikal dan memulakan kerjayanya sebagai Jurutera Operasi di Bahagian Huluan Shell Malaysia.
Pada waktu awal kerjayanya, beliau berperanan dalam pembangunan, perancangan, komersial dan strategi di United Kingdom dan Malaysia.
Pada 2011, beliau dilantik sebagai Pengurus Aset Malaysia wanita pertama dan Pengarah Sabah Shell Petroleum Company Limited, yang bertanggungjawab ke atas operasi minyak dan gas huluan Shell di Sabah.
Siti kemudiannya berpindah ke London pada 2015 sebagai pengurus operasi komersial dalam perniagaan Perdagangan dan Pembekalan Shell dan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan komersial global untuk Kumpulan Shell.
Beliau dilantik sebagai Naib Presiden, Usaha Gas Bersepadu Timur yang bertanggungjawab ke atas pelbagai portfolio usaha sama Shell merentasi pelbagai negara di Timur, sebelum mengambil alih peranan semasa beliau sebagai Naib Presiden Operasi Aset Teknikal yang berperanan menyelia sebuah syarikat gergasi global organisasi teknikal yang menyokong aset dan unit operasi di seluruh Kumpulan Shell.
Pada masa sama, Shell Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Dato Ivan atas kepimpinan, komitmen, dan sumbangan beliau kepada perniagaan di Malaysia, dan mengucapkan tahniah kepada beliau atas peranan baharunya sebagai Naib Presiden Eksekutif dalam Shell Group. – TVS