KUALA LUMPUR, 3 Mac: Wee Hock Kee, bekas presiden Institut Juruaudit Dalaman (IIA) Malaysia dan Persekutuan Institut Juruaudit Dalaman Asia dilantik sebagai ahli suruhanjaya terbaru Suruhanjaya Penerbangan Malaysia berkuat kuasa 13 Feb, 2025.
MAVCOM menerusi satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Wee dibuat oleh Menteri Pengangkutan selepas berunding dengan Perdana Menteri, selaras dengan Seksyen 5(1)(c) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].
Wee merupakan Felo Association of Chartered Certified Accountants (United Kingdom) dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Audit Serantau bagi Asia Pasifik, Timur Tengah, dan Afrika di AstraZeneca PLC (United Kingdom).
Beliau juga pernah menjadi ahli lembaga IIA Global, ahli Majlis Penasihat ACCA Malaysia, serta Pengerusi Kumpulan Kerja Audit Dalaman di Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Ketika ini Wee merupakan Ahli Fakulti dan Felo di Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) serta ahli Singapore Institute of Directors (SID).
Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata kepakaran Wee dalam tadbir urus, pengurusan risiko, dan kawalan dalaman, serta pemahamannya mengenai kepimpinan dan pembangunan lembaga pengarah dalam sektor awam dan swasta akan memperkukuh pengawasan serta hala tuju strategik MAVCOM.
“Rekod cemerlang beliau dalam tadbir urus korporat, pengurusan risiko, dan pematuhan peraturan akan menjadi aset yang amat bernilai ketika MAVCOM terus memperkasakan industri penerbangan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, satu lagi perubahan penting di MAVCOM adalah berakhirnya perkhidmatan Datuk Seri Long See Wool sebagai Anggota Suruhanjaya. Tempoh perkhidmatan beliau yang bermula sejak penubuhan MAVCOM tamat pada 28 Februari 2025.-TVS


