KUCHING, 8 Dis: Kontinjen Sarawak muncul sebagai juara Kejohananan Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri Se-Malaysia (SUKSEM) 2022 kali kelapan yang diadakan di Shah Alam pada 25 hingga 30 Oktober lalu.
Kontinjen Sarawak meraih 51 mata dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa diikuti Sabah dengan 30 mata hasil dengan tiga emas manakala kontinjen Selangor menduduki tempat ketiga dengan mengutip 22 mata.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata pencarian pelapis bakat baru akan diteruskan bagi memastikan kejayaan kontinjen Sarawak ke SUKSEM.
“Tahun depan kita akan membuat perancangan, saya akan pastikan bahawa bakat-bakat yang sedia ada diasah lagi dan kita akan mencari bakat baru supaya pasukan SUKSEM kita akan menjadi pasukan terkuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi SUKSEM Sarawak 2022 di sini pada Rabu malam. Majlis itu turut dihadiri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik.
SUKSEM kali ini disertai hampir 2,000 atlet serta pegawai daripada 12 kontinjen.
Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan antaranya bola sepak, badminton, sepak takraw, bola jaring dan bola tampar. – TVS