KUALA LUMPUR, 21 Nov: Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu untuk menubuhkan kerajaan negeri sebagai resepi bencana.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu juga mengesahkan spekulasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mendakwa UMNO sedang mengusahakan jajaran politik baharu bersama PH untuk mengekalkan kuasa.
“Kami (PN Perak) tertanya-tanya di manakah keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang memutuskan ‘No Anwar No DAP,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Reaksi Ahmad Faizal itu menyusul selepas PH dan BN yang masing – masing memenangi 24 kerusi dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 Sabtu lepas mencapai kata sepakat membentuk kerajaan negeri baharu.
PN pula menang 26 kerusi dan tidak cukup untuk mendirikan kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, PN Perak tidak akan bekerjasama dengan PH yang di dalamnya terdapat DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah.-TVS