KUALA LUMPUR, 21 Nov: Pakatan Harapan (PH) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti politik di Sabah dan Sarawak ke arah pembentukan Kerajaan Persekutuan yang lebih stabil.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), penyertaan gabungan politik dari Borneo itu sangat juga diperlukan.
“Sudah tentu. Kita tidak akan mengenepikan sesiapa,” kata Anwar dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar mengesahkan PH telah berunding dengan BN hari ini ke arah pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU-15).
Sebelum ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.
Pada PRU-15, GPS menang 22 kerusi parlimen dan keputusan itu menjadikan gabungan empat parti tempatan di Sarawak itu menjadi buruan parti – parti politik di Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan.
Hari ini pengundian bagi kerusi Parlimen Baram pada PRU-15 yang digantung sebelum ini ekoran masalah cuaca berlangsung dan GPS dijangka akan menambah satu lagi kerusi. -TVS