Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengundi belia yang ditemui di SK Luak Miri yang mengundi untuk Parlimen Miri menyatakan perasaan teruja apabila turun membuang undi. Foto: TVS

PRU-15: Belia teruja mengundi kali pertama

MIRI, 19 Nov: Rata-rata pengundi belia yang ditemui di salah satu tempat mengundi untuk Parlimen Miri di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Luak Miri menyatakan perasaan teruja apabila turun mengundi hari ini.

Kebanyakan daripada mereka mengatakan ini merupakan pertama kali mereka mengundi dan berharap calon yang dipilih melaksanakan tanggungjawabnya dan memegang janji mereka.

Mohamad Alif Abdul Rani yang merupakan seorang mahasiswa berharap agar kerajaan dipilih dapat membentuk kerajaan yang lebih stabil di samping memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia seperti mereka.

“Ini kali pertama saya mengundi untuk PRU-15 dan saya berasa teruja. Saya berharap PRU-15 ini kerajaan akan menjadi lebih stabil dan dapat membantu rakyat Sarawak. Sebagai anak muda yang sedang menyambung pelajaran, saya berharap kerajaan dapat memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak,” katanya.

Muhammad Aliff Aiman Arman berharap agar kerajaan akan datang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan memberi bantuan kepada rakyat.

“Ini kali pertama saya mengundi, jadi saya rasa gembira dan teruja. Saya berharap kerajaan kali ini dapat memberi lebih banyak peluang terbuka dari segi pekerjaan untuk anak muda dan bantuan kepada rakyat supaya lebih senang untuk rakyat lebih mempercayai para pentadbir yang akan datang,” ujarnya.

Nurul Izzati Mukhali pula mahu bakal kerajaan yang akan memegang tampuk pemerintahan memenuhi manifesto mereka dan menjadikan ekonomi lebih baik berbanding lima tahun dahulu.

“Perasaan saya untuk mengundi pada PRU kali ini adalah teruja untuk mengetahui siapakah bakal kepimpinan dalam tempoh lima tahun yang akan datang ini. Harapan saya untuk kerajaan yang akan memegang tampuk kepimpinan dalam tempoh lima tahun akan datangi ni adalah diharapkan melaksanakan manifesto iaitu menjadikan ekonomi negara lebih stabil berbanding lima tahun sebelum ini. Saya juga mengharapkan negara kita terus mengekalkan kestabilan dan tiada isu perkauman atau agama di Malaysia,” katanya.

Muhamad Izz Mukhali juga berharap kerajaan dipilih untuk melaksanakan manifesto mereka terutamanya untuk para belia di universiti yang memerlukan bantuan.

“Pertama sekali bila saya dapat tahu saya boleh mengundi, saya berasa sangat teruja kerana dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat. Kepada mana-mana parti yang terpilih jadi kerajaan, saya harap mereka laksanakan manifesto yang dijanjikan. Terutama sekali manifesto untuk para belia macam saya dan belia di universiti yang perlukan bantuan daripada kerajaan,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan