SHAH ALAM, 6 Nov: Konsert kumpulan indie terkenal tanah air Hujan pukau 4,800 peminat sempena konsert ‘Rumah Kita’ yang berlangsung di Stadium Malawati di sini, malam tadi.
Penganjur, Rosix Omar berkata, dia sendiri tidak menyangka konsert tersebut menerima sambutan luar biasa peminat seluruh negara.
“Alhamdulillah kita tidak menjangka konsert Hujan dapat sambutan seperti ini, sebab malam ini juga ada konsert Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Gigi dari Indoneisa dan juga hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ini yang membuatkan pihak saya teruja untuk membuat tiga lagi konsert pada tahun depan,” katanya kepada TVS.
Pada konsert edisi Rumah Kita ini Hujan menampilkan persembahan muzik berlainan dengan membawa bersama elemen iringan muzik orkestra.
Konsert Rumah Kita yang menjadi simbol kepada 17 tahun penglibatan mereka dalam arena muzik tanah air ini juga menerbangkan bekas pemain keyboard Hujan, Hang Dimas dari Indonesia.
Sebanyak 34 lagu popular mereka didendangkan kepada peminat termasuklah Pagi Yang Gelap, Dugaannya, Obsesi, Kotak Hati, Kuala Lumpur dan Aku Scandal.
Sebagai penampilan ke-17 tahun Hujan, mereka melahirkan rasa syukur kerana tetap diterima peminat seni muzik tanah air.
Sementara itu, Penyanyi Rock Lagenda Negara, Datuk Amy Search menyifatkan Hujan sebuah kumpulan yang versatile dan mempunyai pengaruh yang kuat selain mampu menjadi inspirasi golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang muzik.
“Persembahan mereka sangat terbaik, saya datang bersama anak-anak ke sini sangat teruja sekali menonton mereka, phewitt, ” kata Amy Search.-TVS