SARIKEI, 4 Nov : Seramai 85 murid Tahun Satu hingga Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Adin Sare, menyertai program motivasi ‘Bangkit SK Adin’, di dewan sekolah itu, pada petang semalam.
Penyelaras Program, Dinang Medang berkata, program bertujuan membuka minda dan membina sahsiah diri di samping menjadi inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kualiti, kecemerlangan peribadi dan prestasi akademik.
Matlamat utama program katanya, meningkatkan motivasi pelajar khususnya dari sudut pengurusan emosi terutamanya selepas pasca Covid-19 dan banjir kilat yang melanda sekolah itu, baru-baru ini.
“Peserta sangat bertuah kerana mendapat bimbingan sepenuhnya pegawai HIKMAH Sarikei yang bertauliah dan berpengalaman mengendalikan program seumpama itu,” katanya ketika ditemui TVS.
Beliau berkata, program yang berlangsung selama dua jam itu menjadi pengalaman menarik peserta kerana berpeluang menimba ilmu dan pengalaman baharu melalui ceramah yang disampaikan.
“Kita optimis, program ini mampu memberikan kesan sangat positif terhadap emosi sekali gus mencetus minat murid untuk menimba ilmu apatah lagi dengan kehadiran penceramah yang profesional dan berpengalaman.
“Malah, program motivasi seperti ini terbukti lebih bermanfaat dalam meningkatkan semangat peserta, sekali gus membolehkan mereka lebih cemerlang dalam segenap bidang,” ujarnya,
Majlis perasmian program disempurnakan Guru Besar SK Adin, Mohamad Zikri Shahadan.- TVS