KUCHING, 11 Okt: Lebih banyak kerusi diwakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di dalam Dewan Rakyat bermakna perjuangan mengembalikan hak dan kepentingan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih berkesan.
Baca artikel berkaitan:
- 1. TERKINI : Parlimen dibubarkan hari ini – Ismail Sabri
- 2. GPS bersedia hadapi PRU-15, kata Fadillah Yusof
- 3. Tertakluk kepada SPR tetapkan tarikh PRU-15, kata Ismail Sabri
- 4. PRU15: DUN di bawah BN bubar serentak dengan pembubaran Parlimen
- 5. Agong tiada pilihan selain perkenan bubar Parlimen – Istana Negara
- 6. SPR akan adakan mesyuarat khas tentukan tarikh PRU15
- 7. GPS tidak terkesan dengan pengumuman PRU-15, kata Abdul Karim
- 8. Pertambahan jumlah pengundi baharu satu cabaran buat GPS
- 9. PRU perlu diadakan segera untuk pilih kerajaan stabil – Fadillah
- 10. PRU-15 sesuai sebelum pertengahan Nov
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdullah Saidol berkata, misi GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah untuk memastikan wakil GPS lebih banyak di Parlimen.
Malah, GPS berharap kerajaan Persekutuan yang dibentuk selepas PRU15 akan lebih stabil dan kukuh demi pembangunan negara.
“Kita mahu kerajaan Persekutuan yang dibentuk nanti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Kita tidak mahu lagi mendengar dan melihat polemik-polemik politik yang hanya tertumpu kepada tentang perebutan kuasa dan pangkat,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas persediaan GPS menjelang PRU15) pada Isnin.
Abdullah yang Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) berkata lagi, beliau yakin semua rakyat Malaysia mahu sebuah kerajaan yang dinamik, progresif dan berjiwa besar.
Juga memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta membina pembangunan negara ke arah yang lebih maju dan moden.
Mengenai persiapan, beliau berkata GPS telah membuat persiapan sejak beberapa bulan yang lepas.
Menurutnya, semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS telah menerima arahan agar mengaktifkan bilik pilihan raya masing-masing untuk membantu kempen calon-calon GPS.
Dalam keadaan cuaca sering hujan pada ketika ini, beliau berkata GPS akan mengambil langkah-langkah tertentu supaya kempen PRU15 tidak menyusahkan rakyat.
Kempen mungkin boleh diadakan melalui aktiviti-aktiviti skala kecil tetapi memberi penekanan terhadap penjelasan mengenai rancangan dan pembangunan kerajaan.
“Pada hari mengundi nanti, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih aktif untuk memastikan lebih ramai pengundi-pengundi dapat keluar mengundi dalam keadaan selesa, persediaan dari segi logistik dan sebagainya,” katanya.
GPS merupakan gabungan empat parti – PBB, SUPP, PRS dan PDP.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, PBB bertanding di 14 kawasan, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat).
Pada pilihan raya 2018 itu, empat parti berkenaan merupakan komponen dalam Barisan Nasional (BN). -TVS