SUNGAI PETANI, 5 Sept: Pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kilometer (km) 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun semalam ditahan polis petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu tampil menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kuala Muda kira-kira pukul 6.30 petang.
Kata beliau, berdasarkan keterangan lelaki itu, dia mengaku terlibat dalam kejadian itu dan melarikan diri kerana takut dipukul selain tidak mempunyai lesen memandu.
Baca di sini > > > Pemandu Proton Wira Aeroback langgar Timbalan Penolong Pengarah Imigresen diburu polis
“Suspek yang bekerja sebagai buruh memaklumkan dia memandu kereta milik abang iparnya dan melarikan diri ke rumah di Taman Sri Gading, Pokok Sena di Alor Setar.
“Kita sedang menyiapkan dokumen untuk memohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Sungai Petani esok bagi siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, TVS melaporkan, seorang pegawai imigresen terkorban manakala rakan sekerjanya cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai dilanggar kenderaan lain di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pagi semalam.
Mangsa yang merupakan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Rakannya yang menunggang motosikal lain iaitu Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, dilaporkan mengalami patah kaki kanan.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang bertugas di Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dikatakan menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C menuju ke arah utara.
Polis kemudiannya melakukan usaha memburu pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang disyaki meninggalkan lokasi kejadian sejurus insiden terbabit berlaku. – TVS