LAWAS, 26 Jun: Kerajaan Sarawak kini berada di peringkat akhir pelaksanaan Projek Fasa 2 penanaman 300 unit tukun tiruan jenis Reef Ball dalam enam kluster peranti pengumpul ikan (Fish Aggregating Device – FAD) di pesisir pantai negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif yang dimulakan sejak 2018 itu telah menunjukkan kesan positif terhadap pemulihan ekosistem marin, perlindungan habitat dan peningkatan stok ikan di kawasan terlibat.
“Inisiatif ini bukan sekadar satu projek pemuliharaan, tetapi merupakan simbol komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan sumber alam semula jadi negeri ini dilindungi dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang serta memperkasakan perlaksanaan ekonomi biru di Sarawak.
“Ini adalah selari dengan kerangka yang kita lalui terajui pembangunan Pasca Covid 19 (PCDS), 2030 dan ini juga merupakan satu projek untuk menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 14,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada perasmian Pelancaran Sarawak Reef Ball Fasa 2 di Kampung Awat-Awat Lawas di sini, hari ini.
Beliau menambah inisiatif berkenaan juga antara sebahagian dari kesinambungan koridor Terumbu Tukun Reef Ball di sepanjang pesisir pantai Sarawak.
“Pada tahun 2022, Kerajaan Sarawak telah mendapat pengiktirafan oleh Reef Ball Development Group yang berpengkalan di Amerika Syarikat kerana telah berjaya menanam Tukun Reef Ball terpanjang di dunia iaitu sepanjang 746 kilometer,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip dan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation Abang Arabi Abang Aimran. -TVS.