SIBU, 24 Jun: Seorang wanita dari Julau tampil menjadi penyelamat apabila mendermakan darah jenis Jk-Null, sejenis darah yang amat jarang ditemui bagi menyelamatkan nyawa seorang pesakit di Hospital Sibu baru-baru ini.
Adeline Asong Liang Ching Foong, yang sedang dalam perjalanan ke Sibu atas urusan peribadi, segera bersetuju untuk membantu sebaik dihubungi pihak hospital.
“Beliau tidak berlengah. Sebaik dimaklumkan, Adeline terus ke Hospital Sibu dan bersedia mendermakan darahnya,” kata jurucakap Bank Darah Hospital Sibu hari ini.
Pesakit terbabit mengalami pendarahan serius dan hanya boleh menerima darah Jk-Null kerana mempunyai antibodi Anti-Jk3, menjadikan pencarian penderma amat mencabar.
Darah Jk-Null sangat jarang ditemui, dengan anggaran kehadiran kurang daripada 0.9 peratus dalam populasi Asia. Kekurangannya menjadikan proses mencari penderma sesuai amat sukar dan memerlukan kerjasama seluruh negara.
Hospital telah menggerakkan usaha ke seluruh negara, termasuk ke pusat darah di Kuching, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur, namun Adeline muncul sebagai satu-satunya penderma yang sesuai.
Transfusi berjaya dilakukan dan pesakit kini stabil serta telah dibenarkan pulang.
Pihak hospital menyifatkan Adeline sebagai “wira senyap” dan contoh semangat kemanusiaan yang luar biasa. – TVS