KUCHING, 23 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan rasmi, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan menyatakan bahawa pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada negeri Sarawak secara keseluruhannya.
“Sesungguhnya pemergian Almarhumah adalah satu kehilangan besar kepada keluarga serta negeri Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Tun Wan Junaidi dan isteri juga mendoakan agar Premier Sarawak serta seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat duka ini.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada jam 3.34 pagi tadi.-TVS