KUCHING, 22 Jun: TV Sarawak (TVS) terus komited memperkukuh peranannya sebagai penyiar rasmi dalam usaha memartabatkan warisan muzik dan budaya Sarawak ke persada antarabangsa.
Ketua Kandungan Kreatif TVS, Jamal Abdullah berkata, kerjasama jangka panjang antara TVS dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bukan sekadar bentuk sokongan media tetapi menjadi platform menyeluruh untuk mengetengahkan keindahan muzik tempatan dan kepelbagaian budaya dunia yang bersatu di pentas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
“Setiap tahun, penglibatan kami dalam festival ini terus dipertingkatkan. Ia menjadi peluang besar untuk menonjolkan muzik berunsur budaya dari Sarawak,” katanya.
Menurutnya, RWMF menyediakan ruang pertemuan istimewa antara kumpulan muzik dari seluruh dunia dalam suasana tropika yang mencerminkan identiti Sarawak.
“Pentas RWMF bukan sahaja mengeratkan hubungan antara penonton dan pemuzik, malah antara penaja dan pelbagai pihak yang terlibat,” ujarnya.
Sebagai saluran televisyen milik Kerajaan Sarawak, TVS turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan negeri menerusi medium penyiaran.
“Siaran langsung dan liputan khas seperti RWMF bukan sahaja meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut mempromosikan Sarawak kepada penonton antarabangsa,” jelas Jamal.
Jamal berkata, promosi melalui penyiaran membuka potensi besar dalam sektor pelancongan, salah satu industri penting dalam menjana pendapatan rakyat.
“Penyiaran acara seperti RWMF turut membuka peluang kepada bakat anak Sarawak untuk dikenali pelancong asing, malah berpotensi dijemput menyertai festival serupa di luar negara seperti Jerman dan Indonesia,” tambahnya. – TVS