KUCHING, 22 Jun: Larian Amal Run To Save Lives 5.0 berjaya menghimpunkan lebih 2,300 peserta bagi bersama-sama meraihkan acara yang dilaksanakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Kuching itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, acara ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan selain mengumpulkan dana bagi menampung kos operasi kempen pengambilan serta pendermaan darah.
Katanya lagi, peningkatan jumlah penyertaan pada setiap edisi penganjuran menunjukkan bukti bahawa semakin ramai masyarakat yang mula sedar dan mengiktiraf usaha PBSM Kuching dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
“Apa yang menggembirakan saya ialah terdapat 28 sekolah rendah dan menengah di Kuching yang hadir menyertai dan menyokong acara ini dan seperti yang anda lihat, semua logo sekolah yang mengambil bahagian telah disenaraikan di latar belakang.
“Ia menunjukkan bahawa generasi muda kita di Sarawak turut mengambil bahagian secara aktif dalam acara komuniti dan kemasyarakatan dan ia amat penting kerana kita memerlukan lebih ramai generasi muda yang bukan sahaja baik dalam prestasi akademik tetapi juga prihatin terhadap masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan Sarawak,” katanya.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting yang mewakili beliau di majlis  yang diadakan di ruang legar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Ahad.
Tambahnya PBSM Kuching berjaya memainkan peranan mereka secara aktif bukan sahaja dalam kerja-kerja menderma darah tetapi juga aktiviti kemasyarakatan lain termasuk  memperkasakan kesedaran dan penggunaan defibrilator luaran automatik (AED) dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di kalangan masyarakat Kuching.
Ujarnya lagi, isu pengsan secara tiba-tiba dan serangan jantung terus meningkat dalam komuniti dan usaha membawa kesedaran berkenaan kepentingan kemahiran CPR dan AED menjadi semakin penting.
“Dari perspektif kerajaan Sarawak, kami sentiasa mengalu-alukan semua pihak termasuk NGO, dan sektor swasta untuk bekerjasama rapat dengan kami dalam mempromosikan kesedaran sebegini di kalangan masyarakat Bumi kenyalang,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PBSM Cawangan Kuching Drm Chou Chii Ming memaklumkan larian itu berjaya mengumpul RM100,000 yang disasarkan untuk menampung kos operasi perkhidmatan teras persatuan kepada komuniti seperti perkhidmatan pengambilan penderma darah, latihan pertolongan cemas, perkhidmatan ambulans dan banyak lagi.
“Tahun ini juga kami ingan menjadi pemula projek Latihan CPR dan AED kami di peringkat sekolah menengah serta komuniti. Projek ini kini dalam momentum penuh dan kami menyeru lebih banyak kerjasama dengan jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menggalakkan kesedaran CPR dan AED dalam komuniti Kuching,” ujarnya.
Larian amal Run To Save Lives 5.0 dilaksanakan melibatkan dua kategori larian dalam jarak tiga kilometer (km) dan lima km. Penganjuran Larian Amal Run To Save Lives bagi edisi seterusnya telah diumumkan dan bakal dilaksanakan pada 21 Jun 2026. -TVS