SIBU, 21 Jun: Gangguan bekalan air yang melanda kawasan Kemuyang, Sibu Jaya, Kem Rascom dan sekitarnya sejak dua minggu lalu berpunca daripada kebocoran paip utama serta peningkatan penggunaan air secara luar biasa di beberapa premis penting.
Menurut Pengurus Besar Lembaga Air Sibu (LAS), Abdul Malik Abdullah@Itin Langit, hasil siasatan mendapati dua lokasi utama iaitu Hospital Sibu dan Lapangan Terbang Sibu mencatatkan lonjakan penggunaan air yang ketara dipercayai disebabkan kebocoran dalaman.
“Penggunaan air di Hospital Sibu meningkat daripada 0.5 juta liter sehari (MLD) kepada 1.0 MLD, menyebabkan bil bulanan melonjak daripada RM15,000 kepada RM30,000. Data ini menunjukkan kemungkinan besar wujud kebocoran dalam sistem paip hospital,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, Lapangan Terbang Sibu turut mencatatkan peningkatan penggunaan air daripada 0.3 MLD kepada 0.6 MLD, dan LAS tidak menolak kemungkinan kebocoran dalaman juga berlaku di premis berkenaan.
Bagi mengatasi situasi itu, katanya, LAS mengambil langkah mengehadkan aliran air ke kedua-dua premis tersebut buat sementara waktu bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap kawasan kediaman berhampiran.
“Langkah ini diambil bagi memastikan tekanan air kembali stabil, khususnya di kawasan seperti Kemuyang, Sibu Jaya dan Kem Rascom,” jelas Abdul Malik.
Beliau turut memaklumkan bahawa tekanan air di Sibu Jaya menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam dua hingga tiga hari kebelakangan ini walaupun beberapa kawasan di kedudukan tinggi masih mengalami gangguan bekalan.
“Pihak pengurusan Hospital Sibu dan Lapangan Terbang Sibu telah dimaklumkan mengenai isu ini, dan kerja-kerja pembaikan dijangka bermula dalam masa terdekat.
“Selagi kebocoran dalaman tidak dibaiki, tekanan air akan kekal rendah, dan kami terpaksa meneruskan kawalan aliran air ke premis tertentu bagi memastikan kawasan kediaman tidak terjejas,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa struktur tanah di Sibu yang terdiri daripada lebih 60 peratus tanah gambut, meningkatkan risiko paip mendap dan pecah, terutamanya paip yang telah berusia lebih 30 tahun.
“Setiap hari, kami menerima purata dua laporan kebocoran paip utama dan lima kebocoran paip komunikasi (paip sambungan ke rumah).
“Ini menjadikan lebih 210 kes kebocoran dilaporkan setiap bulan di kawasan Sibu sahaja,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Abdul Malik menyeru penduduk yang memerlukan bantuan bekalan air bersih melalui penghantaran tangki atau ingin melaporkan kebocoran supaya menghubungi talian hotline LAS di 013-8106311. – TVS