KUALA LUMPUR, 18 Jun: Bank Rakyat memperkenalkan pembiayaan peribadi-i Swasta (InstaCash) yang lebih mudah, pantas dan inklusif, khusus kepada pekerja sektor swasta.
Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman berkata, InstaCash menjadi simbol iltizam bank itu untuk memperkasakan golongan pekerja swasta di seluruh negara.
“Menerusi produk ini, kami ingin memperluaskan peluang kepada golongan pekerja sektor swasta, bagi memudahkan mereka yang bukan penjawat awam untuk menjadi pelanggan.
“Kami percaya bahawa InstaCash mencerminkan iltizam untuk memperluaskan inklusi kewangan kepada pekerja sektor swasta di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi bersama media sempena pelancaran InstaCash di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, Instacash menawarkan kelulusan pembiayaan segera dalam tempoh 24 jam, dengan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000.
Jelasnya lagi, produk ini juga mempunyai kadar keuntungan yang kompetitif serta proses permohonan yang mudah dengan hanya memerlukan dokumen asas seperti slip gaji dan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, Khairudin memaklumkan inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Bank Rakyat dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital menerusi platform Bank Rakyat Quick (BRICK).
“Kita mahu supaya pelanggan menggunakan perkhidmatan Bank Rakyat di mana sahaja.
“Kami juga dalam perancangan untuk memindahkan semua urusan ke platform digital, tetapi ia satu proses yang mengambil masa,” katanya. -TVS.