KUCHING, 15 Jun: Sambutan Hari Bapa yang disambut tahun ini amat menyedihkan bagi Masli Bojeng, 54, dari Kampung Jaie, Sadong Jaya, selepas kegagalan pembedahan pemindahan hati kali kedua anak kesayangannya Muhammad Fayyadh Hadif berusia 4 tahun yang diadakan Hospital Renji Shanghai China pada Khamis lalu.
Dia bersama isteri Hanifah Salam, 39, serta seorang kakitangan Pertubuhan Biliary Artesia Malaysia (BAMA) berangkat ke negara itu pada 23 Mei lalu bagi menjalani pembedahan kali kedua anaknya selepas pembedahan pertama yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya.
“Pasukan perubatan dari Hospital Renji memulakan pembedahan pemindahan hati kali kedua untuk Fayyadh bermula jam 8 pagi.Bagaimanapun, setelah lebih dua jam prosedur dijalankan ke atas pesakit, pasukan perubatan menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembedahan akibat keadaan ‘adhesion’ yang sangat serius kesan pembedahan yang dijalani sebelum ini.
“Bagi mengelak pendarahan menjadi lebih serius dan membahayakan nyawa pesakit, pembedahan telah dihentikan dan Fayyadh telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan, setakat ini keadaan Fayyadh stabil dan pendarahan telah berjaya dihentikan,” katanya kepada TVS hari ini.
Katanya, mereka dijangka akan balik ke tanah air pada minggu hadapan dan pembedahan tidak dapat dijalankan lagi bagi mengelak sebarang risiko.
“Saya memang amat kecewa kerana tidak dapat menyumbangkan hati untuk meneruskan perjuangan Fayyadh, malah Doktor memberitahu hatinya cuma boleh bertahan dałam tempoh satu tahun lebih lagi.
“Naluri seorang bapa dan ibu besar harapan kami untuk kejayaan pembedahan ini kerana mahu melihat insan tersayang kembali sihat seperti anak-anak yang lain, namun saya redha dengan ketentuan Allah SWT,” ujarnya.
Masli turut berterima kasih kepada orang ramai yang disifatkannya sebagai orang baik yang membantu menyalurkan wang ringgit bagi menjayakan pembedahan Fayyadh di negara China.
Sebelum ini TVS menyiarkan penderitaan adik Fayyadh anak bongsu daripada tiga beradik yang memerlukan kos pembedahan sebanyak RM185,000 di Hospital Renji Shanghai China selepas menghidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir.
Penyakit Fayyadh mula dikesan sewaktu umurnya dua bulan dan telah menjalani pembedahan pintasan saluran hati ke usus di Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika umurnya empat bulan. Rawatan susulan seterusnya di HUS sehinggalah dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, HKL, Kuala Lumpur untuk cadangan pemindahan hati.
Fayyadh telah menjalani pembedahan pertama iaitu pemindahan hati pada 29 Mac 2023 yang didermakan ibunya, Hanifah Salam.
Pembedahan kelima pada Disember 2024 dilakukan untuk memperbetulkan saluran darah namun tidak berjaya sehingga mereka diberitahu pada Disember 2024 yang saluran darahnya telah tersumbat teruk dan pemindahan hati sekali lagi perlu dilakukan,-TVS