KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pemain kebangsaan, Gillian Lim semakin menghampiri misinya untuk merangkul kejuaraan profesional di Amerika Syarikat (AS) apabila menampilkan aksi konsisten pada peringkat kelayakan Terbuka AS 2025.
Tamat pusingan ketiga di Sun Valley Lanes, Lincoln, Nebraska, pemain berasal dari Miri, Sarawak itu kini menduduki tempat kedua selepas mengumpul 4,994 pin pada Sabtu.
Gillian memperbaiki kedudukan kesembilan pada pusingan kedua apabila menjatuhkan 233,197, 174,202,174,216, 213 dan 213 pin.
Dia kini ketinggalan 59 pin kepada pemain tuan rumah, Missy Parkin yang mencatatkan 5,003 pin.
Berbaki satu pusingan, tiga lagi pemain negara iaitu Natasha Roslan, juara bertahan, Sin Li Jane dan Nora Lyana Norkamal juga berada kelompok 36 teratas daripada 108 pemain untuk mara ke pusingan match play.
Li Jane pada tahun lepas mencipta sensasi apabila muncul pemain Asia pertama dalam tempoh 32 tahun menjuarai kejuaraan berprestij itu.
Tiga lain pemain Malaysia yang turut beraksi iaitu Alisha Abdullah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah pula perlu bekerja keras pada blok terakhir hari ini untuk mara apabila masing – masing berada pada kedudukan 45, 47 dan 81.
Terbuka AS menawarkan hadiah kemenangan RM255 000 untuk juara dan merupakan kejohanan paling berprestij dalam Jelajah Bowling Profesional Wanita AS. -TVS.