PETALING JAYA, 5 Mei: Pemain kebangsaan, Gillian Lim akhirnya berjaya meraih gelaran pertama terbuka antarabangsa dalam kariernya.
Atlet berusia 25 tahun dari Miri, Sarawak itu muncul juara Terbuka Antarabangsa Malaysia 2024 selepas menewaskan juara bertahan, Lavinia Kho yang juga rakan sepasukannya di Sarawak.
@tvsarawak Pemain kebangsaan dari Sarawak, Gillian Lim mengungguli Terbuka Malaysia 2024 di Bandar Sunway, hari ini. 📹 Firdaus Ismail (TVS) 📱 Strim live di tvsarawak.my atau di aplikasi MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Astro GO sekarang! #TVS122 #TVSNews #TVSarawak #TrendingNewsMalaysia #BeritadiTikTok
Sebelum berdepan Lavinia, Gillian menewaskan juara dunia, Natasha Roslan 257 pin berbalas 198 dalam step ladder pertama.
Gillian bermula baik apabila menang 219 -199 pada aksi pertama.
Pemenang pingat perak Sukan SEA di Vietnam itu terus menampilkan aksi kemas pada game kedua menerusi catatan 235 pin sekali gus meranapkan impian Lavinia untuk mempertahankan kejuaraan apabila sekadar melakukan 196 pin.
Ditemui pemberita, Gillian berkata, dia berasa agak gementar ketika bertemu Natasha dan Lavinia namun mengekalkan sikap tenang.
“Natasha merupakan juara dunia manakala Lavinia pula pemenang tahun lepas.
“Saya beritahu diri sendiri supaya fokus serta mengawal pernafasan setiap kali ingin melakukan balingan,” katanya.
Selaku juara, Gillian membawa hadiah trofi dan wang tunai RM30,000 manakala Lavinia berpuas hati dengan ganjaran RM20,000 selaku naib juara.
Sementara itu Gillian berharap agar kemenangan itu mencerahkan peluangnya untuk terpilih mewakili skuad negara pada Kejohanan Boling Asia di Bangkok Thailand hujung tahun ini.
“Saya akan teruskan latihan kerana tidak semestinya apabila sudah menang, akan terus menang kerana ada lagi kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya akan menyertai Terbuka Antarabangsa Singapura selepas ini.
Sementara itu Malaysia turut menguasai kategori lelaki apabila Muhammad Hafiz Zainuddin menewaskan Syafiq Ridhwan 234 berbalas 192 dalam perlawanan akhir.
Selaku juara Muhammad Hafiz menerima ganjaran RM50,000 manakala Syafiq terpaksa berpuas hati dengan RM25,000.
Kejohanan itu yang bermula 23 April disertai lebih 300 pemain boling termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Hong Kong, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Sweden. – TVS.


