TUARAN, 15 Jun: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah susulan spekulasi ia mungkin berlaku pada hujung Julai atau awal Ogos ini.
Bagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa pengumuman berhubung perkara itu mungkin dibuat selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hujung bulan Julai nanti.
“Belum lagi. Kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Sulaman diminta mengulas kemungkinan pembubaran DUN menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Mengulas kedudukan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji berkata, gabungan itu bersedia berdepan sesiapa sahaja pada PRN17, namun sebarang bentuk kerjasama politik perlu diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS.
“GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya akan datang. Itu pendirian kita. Tetapi apapun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh AMT GRS,” katanya.
Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali yang bersetuju dengan cadangan supaya GRS bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN17.
“Saya sokong pendapat dia, tetapi apapun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.
“Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat,” katanya.
Semalam, Armizan berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar GRS dan BN tidak bekerjasama dalam PRN nanti dan masing-masing bertanding secara berasingan.
Mengulas lanjut, Hajiji menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ahli Gagasan Rakyat dan GRS menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
“Nasihat saya kepada ahli Gagasan Rakyat dan GRS, kita kena bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti,” tegasnya.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau turut mengingatkan ahli agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang disebarkan pembangkang, terutama di media sosial.
“Kita mesti pandai menilai apa yang fitnah dan pembohongan serta apa yang dibuat oleh kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh,” jelasnya.
Mengenai kerjasama politik, Hajiji berkata, walaupun belum ada keputusan muktamad, beliau selesa dengan formula GRS-PH Plus yang digunakan dalam kerajaan negeri ketika ini.
“Inilah sentimen rakyat sekarang. Ramai pihak lain cakap besar di luar, tapi saya bawa semua ini ke AMT GRS. Saya tidak buat keputusan berseorangan,” katanya.
Beliau juga yakin kerusi DUN Sulaman yang disandangnya sejak 1990 akan terus dipertahankan oleh GRS, selain tiga kerusi lain di bawah Parlimen Tuaran — Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. -TVS