KUCHING, 13 Jun: Seorang jurujual berusia lingkungan 60-an kerugian kira-kira RM150,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud di daerah Padawan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata lelaki berkenaan mendakwa mula berhubung dengan suspek selepas tertarik dengan iklan pelaburan menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat yang dilihat menerusi laman Facebook sekitar pertengahan Mac lalu.
“Mangsa yang tertarik bertindak menghubungi seorang individu yang tidak dikenali berperanan sebagai admin pelaburan iaitu suspek.
“Suspek kemudiannya, menawarkan pelaburan dan membimbing mangsa membuat pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suspek membimbing mangsa untuk membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan.
“Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila mangsa cuba hendak mengeluarkan komisen tetapi tidak berjaya dan setelah membuat semakan mendapati syarikat pelaburan tersebut tidak wujud,” katanya.
Mancha turut menasihatkan orang ramai agar hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.