KUCHING, 12 Jun: Usahawan Sarawak dibawah bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mencatatkan jualan sebanyak RM1.9 juta pada tahun lepas.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata pencapaian itu menerusi 119 usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC).
“Selain penambahan 93 pekerjaan baru, sejumlah 10 usahawan berjaya meningkatkan status daripada mikro kepada kecil.Ini jelas menunjukkan kepentingan menjadi usahawan berlimu dan pembelajaran secara berterusan memainkan peranan besar dalam kerajaan.
“Ilmu merupakan suatu hal yang amat penting dalam kita memberikan impak dan membuahkan hasil semangat ini, dalam Islam dipanggil sebagai Minal Mahdi Ilal Lahdi iaitu belajar dari buaian ke liang lahad,” katanya ketika berucap pada Seminar Asas Pembangunan Produk dan Servis (SAPPS) di sini, hari ini.
Tambahnya, seramai 1,046 usahawan dari Sarawak telah menyertai pelbagai program pembangunan sepanjang tahun 2024.
Dalam masa sama beliau mendedahkan bahawa INSKEN mempunyai satu cawangan di Kuching sebagai menyokong perkembangan usahawan di Sarawak secara konsisten dan menyeluruh.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat. – TVS