KUCHING, 9 Jun: Filem pendek Space Between, sebuah karya yang mengangkat tema hubungan antara ayah dan anak dalam latar alam semula jadi Sarawak akan ditayangkan secara rasmi di saluran TVS pada 15 Jun bersempena sambutan Hari Bapa.
Ditulis dan diarahkan oleh pembikin filem muda Sarawak, Danish Busmah, Space Between yang berlatarkan sepenuhnya di Taman Negara Niah merupakan filem pertama yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurut Danish, filem pendek tersebut membawa penonton menyelami emosi yang terpendam dalam hubungan kekeluargaan melalui kisah perjalanan seorang bapa dan anak perempuannya di tengah kehijauan Taman Negara Niah.

“Mesej yang saya mahu sampaikan bukan semata-mata untuk mempamerkan konflik, tetapi untuk menunjukkan perjuangan yang tidak diungkap dalam sesebuah keluarga. Jika diteliti secara mendalam, setiap keluarga juga sebenarnya berhadapan dengan isu komunikasi dalam bentuk tersendiri.
“Filem ini bertujuan untuk membuka mata penonton bahawa bukan saya seorang yang mengalami situasi ini, tetapi ramai orang lain juga. Jadi, saya harap ia dapat memberi motivasi dan mendorong penonton untuk lebih memahami dan memperbaiki hubungan dalam keluarga masing-masing,” katanya.
Danish berkata demikian pada Tayangan Perdana Space Between di Vivacity Megamall Kuching di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pengarah muda kelahiran Kuching, Sarawak itu turut menyatakan hasratnya untuk membawa Space Between ke pentas antarabangsa menerusi penyertaan di beberapa festival filem luar negara yang sedang dalam perancangan.
“Kami kini sedang dalam perbincangan bersama TVS untuk bekerjasama dalam proses penyertaan filem ini ke festival-festival filem antarabangsa. Kami masih meneliti festival mana yang paling sesuai untuk disertai.
“Harapan kami, menjelang tahun depan, kami dapat mula menghantar penyertaan dan mudah-mudahan dapat membawa lebih banyak anugerah menerusi Space Between,” ujarnya.
Dengan penceritaan yang menyentuh hati serta sinematografi yang memukau, Space Between yang menampilkan pelakon berbakat tempatan, Julai Billie dan Darweesha Dasuki bakal mengetengahkan kisah-kisah yang berunsurkan identiti Sarawak.
Filem yang diterbitkan oleh 21 Ways Film ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Tabung Pemudahcara Warisan, Seni dan Budaya Sarawak serta dengan kerjasama TVS.
Ia bakal ditayangkan secara eksklusif melalui saluran TVS (Saluran 122 di MYTV, Unifi TV dan Astro) pada 15 Jun 2025, jam 5:30 petang, bersempena sambutan Hari Bapa.-TVS
