PHNOM PENH (Kemboja), 9 Jun: Bank Rakyat meneruskan komitmen tanggungjawab sosialnya menerusi Program Korban Bank Rakyat 2025 dengan menyumbangkan 286 ekor lembu dan 159 ekor kambing bagi tujuan ibadah korban tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 241 ekor lembu dan kesemua 159 ekor kambing diagihkan kepada penerima dalam negara bermula 7 hingga 20 Jun 2025.
Manakala baki 45 ekor lembu diserahkan kepada komuniti Islam di Kemboja pada 7 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, program tersebut bertujuan menyantuni golongan memerlukan khususnya dalam kalangan masyarakat Islam di dalam dan luar negara.
“Agihan daging korban dalam negara adalah hasil penyertaan pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban serta Surau Al-Barakah MKBR, dengan jumlah kutipan melebihi RM1.52 juta.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam membantu golongan kurang berkemampuan serta mengeratkan hubungan sesama insan, selari dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keihsanan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan.
Program Kembara Qurban Kemboja 2025 juga meneruskan kesinambungan usaha sejak 2015 dengan memberi manfaat kepada komuniti Islam di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh.
Di samping itu, 150 keluarga di Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal turut menerima bantuan makanan asas termasuk 10 kilogram beras setiap keluarga.
Tambah kenyataan itu, penyertaan ibadah korban kini lebih mudah apabila boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform BRICK tanpa perlu hadir ke cawangan Bank Rakyat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria pula berkata, pihaknya sentiasa komited memakmurkan masyarakat setempat dengan sokongan kukuh daripada anggota dan pelanggan di seluruh negara.
“Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan ini, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk saling membantu, berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah sesama insan,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454, melayari www.bankrakyat.com.my, atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang terdekat untuk maklumat lanjut. – TVS