KUCHING, 7 Jun: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menyeru umat Islam di Sarawak menghayati erti sebenar ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menurutnya, ibadah korban yang mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah adalah satu manifestasi ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta meneladani pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
“Di Sarawak, ibadah korban bukan sahaja memperkukuh semangat ukhuwah dan kepedulian sosial melalui agihan daging kepada golongan asnaf dan memerlukan malah ia juga menjadi medium dakwah dan mempererat hubungan antara masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai isu kenaikan harga haiwan korban, Dr. Abdul Rahman memaklumkan beliau telah menerima maklum balas mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan harga haiwan korban kekal stabil dan berpatutan pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, semangat umat Islam di Sarawak untuk melaksanakan ibadah korban tetap tinggi. Jawatankuasa masjid, surau dan NGO terus menunjukkan inisiatif yang proaktif.
“Alhamdulillah, pada tahun ini, berdasarkan data Jabatan Agama Islam Sarawak, sebanyak 842 ekor haiwan akan dikorbankan sempena sambutan Aidiladha,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan tawaran harga haiwan korban yang terlalu rendah dan tidak realistik kerana dikhuatiri tidak memenuhi syarat sah ibadah tersebut.
“Pastikan urus niaga dilakukan dengan pihak yang dipercayai dan mempunyai rekod baik. Jangan mudah terpedaya dengan iklan yang menjanjikan harga murah tetapi tidak menepati syarat sah korban seperti umur haiwan yang tidak mencukupi atau fizikal haiwan yang cacat.
“Ibadah korban adalah amalan mulia, laksanakannya dengan ikhlas dan penuh ketelitian agar diterima di sisi Allah SWT,” jelasnya.
Sambutan Aidiladha di Sarawak tahun ini dijangka berlangsung dengan penuh penghayatan dan semangat kebersamaan, mencerminkan kekuatan solidariti umat Islam dalam menghidupkan syiar Islam di wilayah ini.-TVS