JAKARTA, 6 Jun: Umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini, iaitu sehari lebih awal berbanding negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Sejak jam 6.00 pagi waktu tempatan, hampir 13,000 penduduk Jakarta membanjiri Masjid Al Azhar di Jakarta Selatan bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.
Sambutan Aidiladha tahun ini dilaporkan sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, susulan penurunan jumlah peserta ibadah korban yang dipercayai berpunca daripada keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Menurut seorang warga tempatan, Wahyu Wibowo, semangat untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini dilihat berkurangan kerana ramai masyarakat terjejas dari segi kewangan.
“Ya, tahun ini kita tahu keadaan ekonomi semasa cukup menjejaskan masyarakat, jadi keinginan untuk membeli haiwan bagi ibadah korban menurun,” katanya kepada TVS.
Namun begitu, katanya, situasi itu tidak mengurangkan makna Aidiladha, malah menjadi peluang kepada golongan berkemampuan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Berdasarkan laporan Kementerian Agama Indonesia, jumlah peserta korban pada tahun ini dianggarkan sekitar 1.92 juta, menurun ketara berbanding 2.16 juta pada 2024.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut menyumbangkan 985 lembu yang telah diagihkan ke seluruh wilayah negara itu untuk disembelih dan diedarkan kepada golongan memerlukan.