ABERDEEN (Scotland), 4 Jun: Sarawak menzahirkan komitmen serius untuk menjadi peneraju tenaga bersih serantau apabila membentangkan visinya ke arah masa depan rendah karbon pada Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025 di Aberdeen, Scotland.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata negeri itu berada di landasan kukuh untuk menjadi hab tenaga bersih ASEAN menerusi pelaburan strategik dalam tenaga hidro, pengeluaran hidrogen dan pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu.
“Visi kami adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai model pembangunan tenaga mampan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara.
“Kami berusaha mencapai pelepasan sifar bersih melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan sektor awam dan swasta serta kerjasama antarabangsa,” katanya dalam sesi temu bual interaktif berimpak tinggi sempena EEC 2025, hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan pelabur global dan rakan teknologi untuk menyertai projek tenaga lestari di Sarawak yang kini bersedia melangkah ke tahap seterusnya dalam pembangunan tenaga boleh baharu.
Dr. Hazland menyifatkan inovasi teknologi dan kerjasama merentas sempadan sebagai pemacu utama peralihan tenaga, sekali gus mengukuhkan peranan Sarawak dalam landskap tenaga masa depan.
Sesi interaktif itu turut membolehkan para delegasi mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar tenaga Sarawak, peluang eksport serta inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Turut mengiringi beliau ialah delegasi negeri seramai 12 orang, termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman.