Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin semasa pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Gawai di Perkarangan Permy Mall, Miri, hari ini. Foto TVS

Kempen keselamatan jalan raya sempena Gawai dilancar di Miri

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 30 Mei: Jawatankuasa Kecil Keselamatan Jalan Raya di bawah Majlis Bandaraya Miri melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Gawai.

Kempen tersebut mendapat kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam usaha meningkatkan kesedaran pengguna supaya lebih berwaspada sepanjang musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, musim perayaan menyaksikan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Sempena perayaan seperti Gawai, Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Krismas, kita adakan kempen tahunan ini untuk mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati. Kita mahu semua orang pulang ke kampung atau rumah panjang dengan selamat dan dapat beraya bersama-sama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan Gawai di perkarangan Permy Mall, Miri, hari ini.

Kim Shin menjelaskan, berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, jumlah kemalangan dalam tempoh Januari hingga April 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 4.10 peratus iaitu 1,091 kes berbanding 1,139 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Antara penurunan lain yang dicatatkan termasuk kemalangan ringan sebanyak 13 kes pada 2025 berbanding 16 kes tahun lepas iaitu penurunan sebanyak 18.75 peratus.

“Kemalangan parah pula mencatatkan dua kes pada 2025 berbanding tiga kes tahun lepas manakala kemalangan maut mencatatkan 14 kes pada 2025 berbanding 19 kes 2024.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak lima kes atau 30 peratus menjadikan jumlah kematian 14 orang pada 2025 berbanding 20 orang pada 2024,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada ketika melalui kawasan kerap kemalangan di Miri seperti Jalan Pan Borneo, Jalan Miri-Bintulu (berhampiran Borneo Medical Centre), Jalan Miri Bypass, Jalan Miri-Pujut dan Jalan Kuala Baram Bypass.

Selain itu, Kim Shin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi had laju dan peraturan lalu lintas, mengelak menggunakan telefon semasa memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, sentiasa memakai tali pinggang keledar termasuk penumpang belakang, berhenti dan berehat jika mengantuk serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kajian menunjukkan bahawa pemandu akan mengalami keletihan selepas dua hingga tiga jam memandu. Oleh itu, sebaiknya rehat setiap dua jam atau bergilir-gilir dengan pemandu gantian,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan