KUCHING, 29 Mei: Seramai 151 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Istiadat tersebut dimulakan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Johan Bintang Sarawak (J.B.S) kepada Pemanca Daerah Kuching Utara Roshidi Junai, Presiden Sarawak Australia Business Chamber (SABC) Rodger Chan Siong Boh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Ruslan Abdul Ghani.
Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Johan Bintang Kenyalang (J.B.K) pula dikurniakan kepada bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo.
Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) kepada empat penerima iaitu Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Catherine Ridu, Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Dolhadi Mazuki.
Majlis turut menyaksikan pengurniaan Pingat Jasa Keberanian Pingat Perwira Negeri (P.P.N) – Gangsa kepada Nehemia Bonel Pantulusang dan Nora Ibrahim bagi pihak Allahyarham Ibrahim Saili.
Sementara itu, sembilan penerima dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dan ADUN Serembu Miro Simuh diikuti Chong Yie Loong, Hallman Sabri, Mazli Mustaffa, Tey Kim Chuan, Zulaihi Mohd. Mantali, Kesean Sandah dan Khadija Muip.
Selain itu, seramai 15 penerima dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K), 18 penerima Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B), 20 penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (ABS) dan 18 penerima Ahli Bintang Kenyalang (ABK).
Majlis turut menyaksikan pengurniaan pingat Ahli Bintang Kenyalang (ABK) kepada 18 penerima dan 61 penerima masing-masing bagi Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dan Bentara Bintang Sarawak (B.B.S).
Turut hadir ialah isteri Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. – TVS