SARIBAS, 24 Mei : Sejumlah RM520,000 daripada Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 65 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid dan Surau serta Lembaga Amanah Bungin di sekitar Saribas.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, di Dewan Millinnea Debak pada Sabtu.
Sumbangan itu merupakan aktiviti tahunan bagi membantu ahli jawatankuasa JKKK, Masjid dan Surau serta pertubuhan menjalankan aktiviti mereka di Saribas.
Menurut Mohammad Razi, sumbangan berkenaan  merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk memeriahkan aktiviti ibadah korban di Saribas.
“Ini merupakan aktiviti atau program yang kita lakukan pada saban tahun. Dan hari ini, kita sampaikan sumbangan kepada JKKK, Masjid dan Surau yang ada di Saribas,” katanya.
Tambahnya, penyerahan sumbangan seumpamanya juga tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kaum mahu pun pertubuhan atau persatuan sahaja tetapi meliputi semua yang ada di Saribas turut menerima sumbangan yang sama.
“Aktiviti ini bukan hanya untuk Kampung Melayu sahaja tetapi JKKK Rumah Panjang pun ada, contohnya semalam saya menyerahkan sumbangan untuk program Gawai.
“Rumah-rumah ibadat daripada kaum Kristian dan Budha yang ada di Saribas juga turut tidak ketinggalan,” katanya. -TVS.