KUCHING, 21 Mei: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Sutera Sanctuary Lodges (SSL) hari ini memeterai Perjanjian Konsesi bagi memperkasa perkhidmatan pelancongan di Taman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Negara Tanjung Datu.
Majlis menandatangani perjanjian 20 tahun disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam kenyataan bersama, SFC dan SSL memaklumkan kerjasama ini selaras dengan visi Sarawak untuk memperkukuh pelancongan berasaskan alam sekitar, memajukan pelancongan komuniti, serta memelihara warisan semula jadi dan budaya negeri.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, pemilihan SSL yang berpengalaman dalam pengurusan destinasi alam semula jadi seperti Taman Kinabalu, Laban Rata dan Pulau Manukan adalah langkah strategik bagi memastikan keseimbangan antara pemeliharaan dan pelancongan berkekalan.
“Ini satu lonjakan besar dalam usaha menjadikan Sarawak destinasi eko-pelancongan utama dunia,” katanya.
SSL akan memulakan kerja pengubahsuaian di Taman Negara Niah menjelang akhir 2025, termasuk penambahan penginapan, restoran, kolam renang dan bar, tanpa menjejaskan nilai sejarah dan ekologi tapak tersebut.
Sementara itu, di Taman Negara Tanjung Datu, pembangunan fasa tiga tahun akan menampilkan vila eko butik, spa, restoran dan kemudahan premium lain dengan reka bentuk mampan dan mesra alam.
Perkongsian awam-swasta ini dijangka merangsang ekonomi setempat serta meningkatkan pengurusan kawasan perlindungan secara mampan di Sarawak. -TVS