KUCHING, 20 Mei: Sukan merupakan wadah perpaduan, penyatuan dan pengukuhan komuniti terutamanya dalam kalangan wanita, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas penganjuran kejohanan yang dinamakan sempena nama beliau sebagai penghargaan terhadap sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan wanita di negeri ini.
“Penganjuran kejohanan ini juga merupakan salah satu inisiatif memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang sukan serta memperluaskan pengaruh sukan Pickleball sebagai sukan rekreasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Sarawak kini,” katanya.
Kejohanan Pickleball Wanita Individu 2025 – Piala Pusingan YB Datuk Hajah Sharifah Hasidah telah berlangsung pada 17 hingga 18 Mei 2025.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Slpas Pickleball Club berkolaborasi dengan Kuching Pickleball Assosiation telah berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Tunku RPR, Kuching itu menyaksikan sambutan 80 peserta wanita daripada sekitar Bandar Kuching, sekali gus menandakan peningkatan minat terhadap ‘Sukan Pickleball’ di kalangan wanita.
Beliau menjelaskan kejohanan sebegini akan diteruskan sebagai acara tahunan dengan penganjuran lebih besar dan penglibatan lebih ramai penyertaan para wanita dan sokongan tajaan luar.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini telah menyaksikan dua kategori dipertandingkan iaitu Women Double dan Women Single.
Kejohanan ini adalah yang julung kalinya diadakan di Sarawak sekali gus pemilihan pemain wanita untuk mewakili Kuching Pickleball Association (KPA) dalam kejohanan yang akan datang.
Pemenang membawa pulang trofi piala pusingan serta hadiah wang tunai dan barangan tajaan khas daripada Maswings, Malaysia Airlines Group, Attiya Spa and Massage, Kuehstry, PIKABOL dan Protech.
Beliau juga menzahirkan ribuan terima kasih kepada pihak penaja atas sokongan memeriahkan lagi hadiah untuk para peserta. – TVS