Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 100 cedera dalam serangan udara yang mencetuskan kebakaran di khemah yang menjadi tempat perlindungan orang awam yang dipindahkan. Foto AFP

Hamas kecam “kekejaman baharu” Israel dengan serangan udara ke atas khemah penduduk di Gaza

ByBernama

ISTANBUL/ANKARA, 18 Mei: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Sabtu mengecam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah yang menempatkan orang awam terjejas di kawasan Mevasi, Khan Younis, selatan Gaza, sambil menyifatkannya sebagai “kekejaman baharu” dan jelas merupakan jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kumpulan itu berkata serangan yang menyebabkan kebakaran dan kematian itu mendedahkan “sifat fasis” kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Hamas menggambarkan tindakan menyasarkan dan membakar khemah orang awam sebagai pelanggaran ketara terhadap semua norma kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, serta mendakwa Amerika Syarikat (AS) perlu lebih bertanggungjawab kerana sokongan politik dan ketenteraannya kepada Israel.

Hamas turut mengecam masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana berdiam diri terhadap “pelanggaran luar biasa” Israel ke atas orang awam, yang disifatkannya sebagai “paparan menyakitkan terhadap ketidakupayaan.”

Kumpulan itu menggesa negara-negara Arab dan Islam untuk mengambil langkah segera dan berkesan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan genosid, memberikan bantuan kepada rakyat Palestin dan menyokong perjuangan mereka.

Sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 100 cedera dalam serangan udara yang mencetuskan kebakaran di khemah yang menjadi tempat perlindungan orang awam yang dipindahkan.

Tentera Israel telah melancarkan serangan ganas terhadap Gaza sejak 7 Okt 2023, mengorbankan lebih 53,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangannya di wilayah berkenaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan