Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan yang meninggal dunia hari ini.

Tun Wan Junaidi sifatkan pemergian Dominic kehilangan besar bagi Sarawak

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 15 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Serian, Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan yang meninggal dunia hari ini pada usia 90 tahun.

Tun Wan Junaidi menyifatkan mendiang sebagai seorang pejuang sejati yang banyak menyumbang kepada pembangunan politik dan sosial Sarawak, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Bidayuh.

“Saya amat sedih dengan pemergian mendiang Dominic. Beliau bukan sahaja rakan seperjuangan saya dalam dunia politik, malah seorang sahabat dan tokoh masyarakat yang amat saya hormati.

“Mendiang merupakan antara individu terawal yang memperjuangkan penyertaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan saya sentiasa menghargai pandangan serta ketegasan beliau dalam mempertahankan kepentingan negeri ini, terutamanya untuk masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tun Wan Junaidi berkata, mereka berdua saling mengenali dan pernah bekerjasama dalam pelbagai urusan pentadbiran dan politik, termasuk dalam tempoh awal pembentukan negara.

“Saya mengenali beliau sebagai seorang yang sangat berpandangan jauh dan lantang bersuara untuk kebaikan rakyat, khususnya masyarakat Bidayuh yang amat dekat di hatinya.

“Dominic ialah contoh pemimpin yang tidak mementingkan diri, sentiasa mendahulukan rakyat dan berpegang teguh pada prinsip,” tambah beliau.

Tun Wan Junaidi turut menyampaikan doa dan simpati buat isteri mendiang, Datin Amar Mary Margaret Lenuh dan seluruh ahli keluarga agar diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat kehilangan ini.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar bagi Sarawak. Semoga kenangan indah bersama mendiang terus menjadi kekuatan buat keluarga dan masyarakat yang pernah menerima sentuhannya,” katanya.

Mendiang Dominic merupakan Bidayuh pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat dan pernah menjadi Ahli Parlimen Serian.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1934, mendiang memulakan kerjaya sebagai guru sebelum dilantik sebagai Temenggung.

Dominic merupakan antara tokoh utama dalam pembangunan politik Sarawak, terutamanya ketika era pembentukan Malaysia.

Sebagai ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), beliau terlibat secara langsung dalam perundingan syarat kemasukan Sarawak dan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia, bersama wakil dari Malaya dan Singapura.

Di peringkat tempatan, mendiang juga aktif dalam memperkasa komuniti luar bandar. Pada tahun 1955, beliau mengasaskan Sekolah St Dominic Pichin di Serian, yang terletak di atas Bukit Kajuh Manggon, usaha awal beliau dalam memperluas akses pendidikan di kawasan pedalaman.

Beliau turut berkhidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dari 15 Mac 1971 hingga Disember 1973, menyumbang kepada pembangunan sektor awam negeri.

Sebagai menghargai jasa dan sumbangannya, mendiang telah dianugerahkan gelaran Datuk Amar serta menerima Anugerah Peringatan Kemerdekaan Sarawak semasa sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negeri dalam Malaysia.

Upacara pengebumian akan berlangsung pada Isnin, 19 Mei di Gereja Trinitas Kudus, Kampung Pichin pada 9 pagi sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pichin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan