MIRI, 9 Mei: Penubuhan Institut Perubatan Integratif Fudan (FDIIM) di Miri merupakan langkah awal ke arah penubuhan Universiti Fudan di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia merupakan perkembangan sangat penting yang bukan hanya untuk Sarawak tetapi Malaysia secara keseluruhan.
“Ini adalah permulaan bagi satu peristiwa bersejarah. Pertama, perjanjian sewa ini diikuti dengan penubuhan institut tersebut. Institut ini merupakan pusat dengan kapasiti tinggi dalam bidang pendidikan dan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Sewa Majlis Bandaraya Miri Lama dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Miri, Imasa Dinasti Sdn Bhd dan D’Sunlit Group Brunei Darussalam di Majlis Bandaraya Miri, hari ini.
Dr. Sim menjelaskan, pusat tersebut akan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk mendapatkan pendidikan tinggi dalam bidang perubatan.
Malah menurutnya, adalah penting untuk menambah bilangan graduan perubatan di Malaysia yang mana negara ini hanya mengeluarkan 150 pelajar perubatan setiap tahun berbanding keperluan yang jauh lebih tinggi.
“Memandangkan kekurangan doktor yang kritikal di Malaysia, dengan hanya 4,000 doktor berdaftar berbanding dengan keperluan 6,000, langkah ini adalah sangat penting bagi masa depan negara,” ujarnya.-TVS