KUCHING, 5 Mei: Media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menjayakan penyampaian dasar pembangunan negeri kepada rakyat, terutama dalam memastikan maklumat teknikal dapat difahami secara menyeluruh dan inklusif.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, inisiatif seperti AZAM Media Coffee Chat 2025 anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak amat bertepatan dalam usaha mempermudah komunikasi pembangunan kepada masyarakat.
“Dengan mempermudah istilah teknikal, mesej pembangunan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan inklusif,” katanya.
Beliau berucap pada program Media Coffee Chat anjuran Azam Sarawak pada Isnin.
Bertemakan “Jargon Made Simpler”, program tahunan itu menghimpunkan para wartawan, editor serta penceramah jemputan daripada pelbagai sektor pembangunan seperti tenaga, alam sekitar, ekonomi digital dan perancangan bandar.
Ia bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan antara media dan agensi pembangunan, malah turut merangsang dialog terbuka, perkongsian ilmu serta libat urus strategik yang bermakna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, inisiatif sebegini sejajar dengan strategi komunikasi pembangunan Sarawak yang menekankan kefahaman dan keterangkuman.
“AZAM komited untuk menjadikan komunikasi pembangunan lebih mudah difahami dan relevan kepada semua lapisan masyarakat. Menerusi program seperti Coffee Chat ini, media diberi ruang untuk memahami istilah kompleks, sekali gus mengukuhkan naratif pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, usaha ini turut menyokong agenda pembangunan digital Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak ke arah tadbir urus berkesan dan komunikasi berorientasikan rakyat menjelang tahun 2030. – TVS