KUALA LUMPUR 5 Mei: Sidang Khas Parlimen hari ini dimaklumkan bahawa proses rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balik yang dikenakan negara tersebut masih berada di peringkat awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini tiada sebarang komitmen muktamad telah dibuat oleh kedua-dua pihak.
Jelas beliau, terdapat kemungkinan untuk pengurangan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang diumumkan Presiden Donald Trump pada April lepas.
“Tambahan pula, segala perbincangan yang sedang berjalan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Perdana Menteri,sebarang cadangan dasar yang memerlukan kelulusan perlu melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat parlimen dan dibentang di Dewan Rakyat jika perlu.
Sementara itu, mengenai Belanjawan 2025, Anwar menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tidak dapat dicapai.
“Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang meneliti kesan tarif, serta menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK setelah terdapat lebih kepastian atas pelaksanaan dasar tarif pentadbiran Trump serta hasil rundingan dengan AS,” katanya. – TVS.