KUCHING, 5 Mei: Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuching seluas 28 hektar yang diuruskan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) kini telah menempatkan sebanyak lebih 20,000 jenazah yang telah disemadikan dijangka akan penuh dalam masa dua tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pihaknya telah membuat beberapa perancangan dan telah mendapat persetujuan dari Kerajaan Sarawak untuk membahagikan tanah bersebelahan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah yang seluas 25 hektar bagi dijadikan tanah perkuburan baharu.
“Kita akan cuba menambahbaikan pembesaran dengan pihak konsultan bagi merancang perparitan yang betul dengan landskap dan sebagainya.
“Kalau dilihat ianya boleh bertahan 10 tahun lagi dan kemungkinan selepas 10 tahun itu kita kena cari tanah perkuburan di tempat lain,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Kata Abdul Wahap, rancangan untuk membesarkan tanah perkuburan ini sedang rancak dibuat dengan mengambil kira semua aspek.
“Macam tanah bukit, kita nak tentukan supaya kalau dijadikan tanah perkuburan bukit itu tidak susur.
“Saya rasa dalam tahun depan kita boleh mengetengahkan rancangan kita dan kalau dah dipersetujui saya rasa ianya akan kita teruskan dengan usaha membesarkan Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah,” katanya.
Selain itu, kata Abdul Wahap, dengan adanya penubuhan kompleks Raudhatul Sakinah juga amat memudahkan proses pengendalian jenazah kerana kompleks tersebut menyediakan pelbagai kemudahan untuk waris menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.
“Kita ada sediakan dua kawasan dengan enam liang lahad yang sudah digali dan waris boleh memilih sendiri liang mana yang mereka hendak.
“Kos yang kita tetapkan adalah sebanyak RM510 bagi kerja-kerja penggalian lubang termasuk pemberian batu nisan kerana kerja-kerja penggalian itu dikendalikan oleh kontraktor yang kita lantik dan kita perlu bayar kepada kontraktor berkenaan,” katanya.
Jelas Abdul Wahap, pihaknya juga terbuka untuk bekerjasama denga mana-mana pihak yang ingin belajar untuk mengendalikan pengurusan jenazah dan cara-cara bagaimana menguruskan pengebumian.
Mengulas lanjut, katanya, LAKMNS merupakan satu-satunya badan yang mewujudkan satu aplikasi e-Cemetery di mana aplikasi tersebut memudahkan ahli keluarga atau waris untuk mencari di mana letaknya kedudukan kubur ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. – TVS