TOULOUSE, 5 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara AIROD dan syarikat Perancis, SATYS.
Majlis berlangsung di Hotel Marriott Courtyard, Toulouse, dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SATYS, Christopher Cador serta Pengerusi Kumpulan NADI, Tan Sri Ahmad Johan pada Ahad, waktu tempatan.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran global dan tempatan dalam bidang penyelenggaraan serta pengecatan pesawat, dan dijangka menyumbang kepada pembangunan sektor aeroangkasa di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Menurut AIROD dalam kenyataannya, kerjasama ini dijangka mewujudkan sinergi yang kukuh antara kedua-dua pihak.
Malah ia turut membuka ruang kepada pertumbuhan dan kemajuan teknologi dalam sektor ini serta menyokong aspirasi Sarawak dalam membangunkan ekosistem aeroangkasa yang mampan dan berdaya saing.
Usahasama ini sekali gus mengukuhkan lagi peranan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai pemain penting dalam landskap aeroangkasa serantau.
Untuk rekod, AIROD merupakan organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) utama Malaysia, manaakala SATYS, adalah syarikat Perancis yang terkemuka dalam bidang pengecatan dan pengedapan pesawat. -TVS



