KUALA LUMPUR, 5 Mei: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menjadi pengeluar tunggal Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) untuk tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa 6 Mei ini.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tindakan itu adalah bagi menangani isu penyalahgunaan laluan dagangan oleh negara-negara tertentu ke AS yang menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk dan keluar.
Jelas beliau, MITI menghentikan pengeluaran sijil tersebut dari majlis atau dewan perniagaan yang dilantik sebelum ini dengan serta merta.
“Pada masa sama, MITI akan meningkatkan audit ke atas semua permohonan NPCO dan kita akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membendung sebarang cubaan penyalahgunaan laluan dagang ke negara-negara lain terutama AS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas Sidang Khas Parlimen di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata audit dan siasatan tersebut perlu dilaksanakan kerana MITI telah menerima beberapa kes berkaitan NPCO yang dikeluarkan dewan perniagaan berkaitan.
Jelas beliau, antara faktor timbul isu sedemikian adalah kerana tiada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di antara Malaysia dan AS.
“Dalam tempoh siasatan, MITI akan mengambil semula kuasa ke atas pengeluaran sijil tersebut,” katanya.
Tambahnya, isu penyalahgunaan laluan dagangan adalah antara intipati perbincangan bagi Perjanjian Kerahsiaan (NDA) antara Malaysia dan AS, baru-baru ini. – TVS