MELAKA, 5 Mei: Seorang lelaki warga emas yang juga kontraktor ditemukan meninggal dunia seorang diri di rumahnya di Taman Malim Jaya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa, Abdul Rahim Abd Rahman, 69, ditemukan dalam keadaan telentang oleh sepasukan anggota bomba yang bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan jiran mangsa pada 7 malam tadi.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata mangsa dilihat kali terakhir datang ke Masjid Kampung Pokok Mangga di sini untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kira-kira 3 petang pada 2 Mei.
Beliau berkata warga emas itu yang tidak berkahwin pernah mengadu sakit dada selain semput kepada rakannya pada Khamis. – TVS